TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Konvoi  Semarak Hari Malaysia di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok  Batik, hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyampaikan sumbangan berupa Bantuan  Pembelian Peralatan Motosikal kepada seramai 50 orang penunggang P-Hailing dan  sumbangan Bantuan Prihatin kepada seramai 150 penerima dari kawasan Tuaran. 

Hajiji berkata, Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Bantuan Prihatin merupakan program  menyantuni golongan muda dan golongan yang kurang berkemampuan di daerah Tuaran. 

Katanya, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada program yang melibatkan penyertaan  anak-anak muda supaya mereka terlibat dengan program dan aktiviti yang berfaedah, positif  dan sihat. 

Mengulas Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta, Hajiji berkata  ia merupakan salah satu inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu usahawan  belia di negeri Sabah. 

Sambil mengalu-alukan usahawan belia memohon skim itu, beliau berkata kerajaan mahu  golongan belia turut melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. 

“Sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi, insha’Allah kita akan  pertimbangkan menambahnya”, katanya. 

Program Pelancaran Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bantuan  Prihatin adalah adalah anjuran bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR)  Jabatan Ketua Menteri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Persatuan Cakna Masyarakat  Sabah (PEMERKASA) dan Tuaran Youth Town Club (TYTC). 

Konvoi Semarak Hari Malaysia disertai oleh seramai 150 peserta, melibatkan jarak sejauh 10  kilometer. 

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri,  Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah IKRAR, Encik Azrul Ibrahim, Pengarah YKS, Puan  Rugayah Ag Besar dan Pegawai Daerah Tuaran, Encik Syahrin Samsir. 

Tamat