KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima  kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Republik Croatia, TYT Kennedy Mayong Onon  di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini. 

Kennedy Mayong yang berasal dari Sabah menerima watikah sebagai Ketua Perwakilan  Malaysia ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah  Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in  Billah pada 15 Jun 2021. 

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri bangga dengan pelantikan anak Sabah  sebagai Duta Besar Malaysia ke luar negara. 

“Tidak ramai anak Sabah yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia. Saya bangga  kerana anak kelahiran Tuaran ini yang telah diberi kepercayaan menggalas tugas  sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Croatia”. 

“Kita berharap lebih ramai anak Sabah yang berkelayakan akan dilantik ke jawatan itu  pada masa akan datang “, katanya. 

Selain Kennedy, seorang lagi anak Sabah yang dilantik ke jawatan itu ialah TYT  Francisco Munis dari Papar sebagai Duta Besar Malaysia ke Hungary. 

Tamat