KOTA KINABALU: Masyarakat Tionghua memainkan peranan penting dalam  pembangunan ekonomi di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor. 

Sambil merakamkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh masyarakat  Tionghua kepada Sabah selama ini, beliau berkata peranan masyarakat itu dalam  pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan. 

“Dalam aspek pembangunan dan menjana ekonomi, kita memberi peluang kepada  semua rakyat termasuk masyarakat Cina. Tidak boleh dinafikan masyarakat Cina  memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi di negeri ini. 

“Masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam berniaga dan peranan  mereka dalam ekonomi amat penting. 

“Kerajaan hari ini juga amat prihatin dan sentiasa bersikap terbuka termasuk dalam  memberi peluang kepada setiap pelaburan yang datang untuk pembangunan ekonomi  serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan  sambutan Pesta Tanglung sempena Perayaan Kuih Bulan di Lido Square, di sini malam  tadi. 

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan  Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua  Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee;  Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip; Pengarah Unit Pemimpin  Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah dan Pemimpin  Pembangunan Masyarakat Luyang, Gee Tian Siong 

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus  membela nasib rakyat di Sabah tanpa mengira suku kaum termasuk kepentingan  masyarakat Cina akan terus dijaga oleh kerajaan negeri haei ini. 

“Kita juga mahu masyarakat Tionghua terus memberi sokongan kepada kerajaan hari  kerana kita akan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri serta rakyatnya,” katanya yang berasa gembira dapat hadir bersama-sama rakyat Tionghua meraikan  Pesta Tanglung. 

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada  rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk meraikan aktiviti kebudayaan masing masing. 

Beliau berkata kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing menjadikan  Sabah sebagai negeri yang unik serta harmoni. 

“Keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu kita teruskan. Kita bebas untuk meraikan  perayaan masing-masing dan inilah yang menjadikan negeri kita unik. 

“Seperti pada malam ini, masyarakat Tionghua di sini (Luyang) meraikan Pesta  Tanglung dan kita sama-sama memeriahkannya. Suasana seperti ini perlu diteruskan  sampai bila-bila dan kita bersatu sebagai rakyat Malaysia di Sabah. 

“Saya berasa amat gembira kerana hadir pada malam ini dan saya melhat ramai  masyarakat Tionghua datang untuk meraikan Pesta Tanglung,” katanya. 

Tamat