Siaran Media

TUARAN: Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA)  berjaya mengendalikan sebanyak 46 kes berkaitan dengan kekeluargaan dan  penganiayaan dari sudut Syariah,Sivil dan Adat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, berdasarkan statistik terkini dari Januari 2022 hingga Jun 2022, sebanyak 40  kes dikendalikan di Kota Kinabalu, 4 kes di Kota Belud dan 2 kes di Sandakan. 

“Diharapan menerusi usaha yang dilaksanakan oleh JHEWA ini, lebih ramai golongan  wanita khususnya dapat dibantu untuk diwakili di mahkamah dalam kes-kes kritikal dan  lama tidak selesai. 

“Perkhidmatan Bantuan Guaman oleh JHEWA khas untuk wanita yang memerlukan  pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan, dan golongan hawa perlu mengetahui  fungsi perkhidmatan yang diberikan”, katanya ketika merasmikan Program “Jerayawara  Jelajah Sabah” di Dewan Seri Sulaman, hari ini. 

Program itu dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal  Ehwal Wanita (JHEWA) serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah, Kumpulan  Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Daerah Tuaran adalah destinasi kelima pelaksanaan program “Jerayawara Jelajah  Sabah” yang bermula sejak bulan Julai lalu, selepas daerah Ranau, Tawau, Lahad Datu  dan Putatan. Program itu akan diteruskan ke beberapa daerah lain. 

Hajiji berkata, program “Jerayawara Jelajah Sabah” amat bermakna kepada rakyat bagi  mengetahui lebih lanjut produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh MPWS, JHEWA,  KWSP, PERKESO dan AKPK yang berkaitan bantuan guaman, tanggungjawab majikan,  hak pekerja, caruman dan penyelesaian masalah kewangan. 

“Kerajaan negeri komited,menyokong pelaksanaan program ini kerana ia turut membantu  usaha kerajaan memberi lebih banyak maklumat yang bermanfaat kepada rakyat. Saya  berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat untuk lebih  mengetahui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung  oleh agensi-agensi yang terbabit”.

“Saya juga berharap agar semua info dan perkongsian yang telah disampaikan oleh  agensi-agensi pada hari ini memberikan manfaat yang berguna kepada peserta program  dan segala ilmu yang diperoleh ini dikongsikan kepada saudara mara dan rakan  terdekat”, tambahnya. 

Tamat