KOTA KINABALU: Music Rights Sabah Berhad (MRS) yang menjadi badan pelesenan  muzik yang diiktiraf kerajaan pada awal tahun ini, akan memberi pembelaan sewajarnya  kepada hak penggiat seni tempatan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar pengiat seni di Sabah akan terus berkarya  baik dalam bidang muzik mahu pun sebagai penyanyi. 

“Penubuhan MRS pada Januari lalu, tepat pada masanya untuk memberi pembelaan  sewajarnya kepada artis-artis tempatan Sabah. MRS secara rasmi menjadi badan  pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam  industri muzik di negeri ini. 

“Badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik,  pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini.  Justeru, dengan adanya badan ini, ia akan menggalakkan penggiat seni tempatan terus  berkarya dan memartabatkan industri muzik tempatan di negeri ini. 

“Tiada istilah lambat dalam hal ini (mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah baik penyanyi  atau pun pemuzik) kerana kita sentiasa bergerak ke hadapan dan mencari kaedah  terbaik untuk melindungi mereka,” katanya ketika merasmikan Program Riuh Bah!  Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada  Jumaat. 

Ketua Menteri berkata program selama tiga hari itu pasti akan menjadi medan untuk  merancakkan lagi industri kreatif di Sabah sekali gus memberikan manfaat kepada  komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.  

Sehubungan itu beliau menyarankan agar persatuan dari pelbagai etnik di Sabah terus  memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut  dengan kepesatan arus globalisasi. 

“Hal ini penting agar kepelbagaian budaya di negeri ini terus diperkukuh dan tidak  dipinggirkan oleh kemodenan dan kemajuan teknologi. Kita tidak boleh biarkan mana mana etnik itu pupus begitu sahaja tanpa mengetahui kewujudannya.  

“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di  negeri ini yang masih belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya.

Ketua Menteri juga berharap program `RIUH BAH! Bersama Hotlink’ akan membantu  mempromosikan seni kreatif tempatan yang ada di Sabah untuk diangkat hingga ke  peringkat antarabangsa.  

“Semoga insiatif kerajaan ini akan dapat merancakkan kembali aktiviti ekonomi  berkaitan industri kreatif, khususnya di Sabah,” katanya. 

Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima  Annuar Haji Musa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’  Sri Haji Mohammad Mentek dan Pengerusi MyCreative Venture Sdn Bhd, Noor Azmi  Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis merangkap Rakan Strategik Utama RIUH  BAH! bersama Hotlink, Gokhan Ogut. 

Tamat