Siaran Media

KOTA KINABALU: Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) akan diinstitusikan  sebagai acara tahunan bagi mendengar suara daripada rakyat khususnya golongan  muda dan mereka yang masih belajar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Selain itu beliau berkata, semua usul yang dibentangkan dalam MPPS perlu  didokumentasikan secara rasmi dalam bentuk Nota Kabinet dan akan dibentangkan  untuk makluman jemaah menteri, seterusnya diteliti oleh setiap kementerian dan agensi  berkaitan. 

Selepas mendengar segala usul menerusi majlis yang pertama kali diadakan ini, saya  mahu MPPS dijadikan sebagai acara tahunan. Saya mahu mendengar cadangan dan  pandangan daripada anak-anak muda terutama mereka yang masih belajar di institusi  pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. 

Saya juga mengambil perhatian serius setiap usul atau cadangan yang dibentangkan  oleh anak-anak muda kita dan kita akan teliti secara terperinci untuk dimasukkan dalam  perancangan kerajaan. Mana yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan secepat  mungkin. 

Banyak cadangan atau usul daripada tujuh kluster yang dibentangkan dalam MPPS d  amat releven dengan pembangunan negeri dan belia di Sabah. Terima kasih kepada  semua pelajar yang memberi pandangan yang bernas demi pembangunan rakyat dan  negeri ini,” katanya ketika merasmikan MPPS di Sabah International Convention Centre  (SICC) di sini,malam tadi. 

Persidangan MPPS itu diumumkan Ketua Menteri dalam satu majlis berbuka puasa  bersama pelajar Sabah di Semenanjung, pada April lalu. MPPS yang akan diinstitusikan  sebagai acara tahunan akan dipengerusikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas. 

MPPS adalah inisiatif bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR),  Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Majlis Belia Sabah (MBS). Lebih 80 pemimpin  pelajar daripada 60 institusi pendidikan di seluruh negara menghadiri MPPS, termasuk  pemimpin pelajar sekolah menengah di negeri ini. 

Lebih 10 usul atau cadangan yang dibentangkan daripada tujuh kluster dalam MPPS  iaitu Kluster Belia dan Sukan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Kepimpinan dan Modal Insan; Ekonomi Anak Muda dan Perniagaan; Pendidikan dan Kerjaya; Alam Sekitar dan  Kelestarian Hijau; dan Pertanian dan Pelancongan. 

Hajiji berkata, penganjuran MPPS adalah bertepatan dengan salah satu teras dalam  Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu agenda pembangunan Modal Insan dan  Kesejahteraan Rakyat.  

Kerajaan negeri amat komited untuk memperkasa modal insan di negeri ini melalui  pelaksanaan dan perancangan pelbagai program dan inisiatif bagi mengangkat aspirasi  anak muda Sabah.  

Selain MPPS, pelbagai inisiatif lain telah dan sedang digerakkan. Antara inisiatif baharu  yang dilaksanakan bermula tahun ini ialah Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)  untuk membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke IPT.  

Kerajaan negeri turut menubuhkan Sekretariat Khas Pelajar Sabah, bertujuan  memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.  Melalui sekretariat khas ini juga, isu-isu berkaitan pelajar Sabah akan dibincangkan dan  dibawa ke pengetahuan pihak kerajaan untuk tindakan susulan,” katanya. 

Sambil menegaskan mahu modal insan yang mempunyai ilmu dan kemahiran, beliau  berkata ia penting agar mereka boleh bersama-sama membangunkan negeri ini. 

Selepas mendengar segala pandangan daripada pelajar kita dalam MPPS ini,  sebenarnya kita mempunyai anak-anak muda yang berpotensi. Sebab itu, kerajaan  Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN)  memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik  pelaburan asing untuk datang.  

Kita mahu bawa masuk pelabur ke Sabah supaya kita dapat wujudkan lebih banyak  peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini. Kita tidak mahu lepasan universiti berhijrah  ke Semenanjung kerana tiada peluang pekerjaan di sini,” katanya. 

Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif; Setiausaha  Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah IKRAR Sabah,  Azrul Ibrahim. 

Tamat