TONGOD: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan terus  memajukan Sabah termasuk kawasan luar bandar melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin dan tidak mahu daerah-daerah yang jauh dari Kota  Kinabalu mundur, kerana rakyat di daerah tersebut juga berhak menikmati pembangunan dan  faedah hasil daripada kemerdekaan negara. 

“Inilah yang Kerajaan GRS-BN lakukan kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dapat  menikmati apa jua pembangunan dan juga kemudahan-kemudahan asas yang sepatutnya  mereka perolehi.  

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tongod Tahun 2022 dan  Majlis Pecah Tanah Projek Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di  Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, semalam. 

Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN mahu membawa Tongod dan daerah-daerah lain yang kurang  pembangunan, keluar daripada kemunduran. 

“Inilah niat kita sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan negeri pada September 2020 yang  lalu. Kerajaan Negeri sememangnya akan membawa pembangunan terutama di kawasan luar  bandar bagi dinikmati oleh rakyat kita yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik atau  memberi manfaat kepada mereka, yang dapat dilakukan oleh Kerajaan. 

Katanya, Kerajaan GRS-BN juga amat komited dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di  negeri ini, menerusi penyerahan sebanyak 611 geran tanah yang berkeluasan 3,893 ekar kepada  pemohon dari daerah Tongod. 

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 238 adalah geran tanah adat negeri (NT) hasil  daripada permohonan tanah biasa, manakala geran NT hasil daripada Program Perkhidmatan  Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) adalah sebanyak 373.  

“Pada 12 Mei lalu, saya telah menyerahkan 206 geran tanah NT kepada pemohon di daerah  Pitas. Dan pada Sabtu saya telah menyerahkan sebanyak 181 geran di daerah Telupid. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) akan sentiasa bekerja  keras untuk menilai dengan teliti semua permohonan tanah yang dikemukakan oleh rakyat. 

Menurutnya, sekiranya sesuatu permohonan itu tidak mempunyai sebarang halangan, tiada  sebab pengeluaran geran untuk tanah terbabit tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru saya meminta semua penerima geran tanah agar mengusahakan tanah mereka dengan  pertanian, kerana ianya dapat meningkatkan pendapatan mereka. Jika boleh bekerjasamalah  dengan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengusahakan tanah tersebut dengan  pelbagai jenis tanaman termasuk kelapa sawit. 

“Berdasarkan laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Mac 2022 yang dikeluarkan  baru-baru ini, mencatatkan eksport minyak Sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion, dengan  Sabah mencatatkan angka tertinggi sebanyak RM1.8 bilion atau 23.5 peratus”, tambahnya. 

Katanya, pemberian geran tanah itu bukan hanya sekadar untuk memastikan penduduk  memperoleh tanah, sebaliknya membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi menerusi  pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan tanaman lain. 

“Justeru, saya menasihatkan kepada penerima geran NT supaya mengusahakan tanah  bersungguh-sungguh dan tidak mengambil jalan singkat untuk mengaut keuntungan dengan  menjualnya”, katanya yang turut menyerahkan satu warta perkampungan anak negeri iaitu  Kampung Sanan seluas 49.3 ekar yang telah diwartkan pada 21 Okt 2021, di daerah Tongod. 

Menyentuh sambutan Pesta Kaamatan, Hajiji berkata, Kaamatan harus terus dipelihara dan  diperkukuhkan sebagai pemantapan perpaduan serta keharmonian dalam kepelbagaian  kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. 

Hajiji yang juga Menteri Kewangan turut meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah untuk membina rumah kos rendah oleh LPPB di Tongod,  projek membina astaka di Kompleks Sukan Tongod dan Rumah Pusat Kebudayaan  Tongod/Kuamut. 

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha  Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Kerajaan  Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Haji Aliasni, ADUN Telupid, Encik Jonnybone J Kurum,  Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod, Haji  Mohd.Fauzi Norbeh. 

Tamat