PAPAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk menurap kawasan gereja dan dewan St Augustine, di Kinarut, dekat sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan perkara itu selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Mangsa Banjir Monsun Timur Laut Mukim Labak, di Papar.

“Ketika masuk ke kawasan gereja dan dewan ini, saya mendapati sekitar kawasan ini masih belum berturap sekali gus tidak memberi keselesaan kepada masyarakat di sini terutama apabila hujan (berlumpur).

“Oleh itu, hari ini saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk tujuan ini. Ia bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 seorang kepada 100 KIR mangsa banjir monsun timur laut (MTL) di Mukim Labak, Kinarut.

Mereka adalah sebahagian daripada 446 mangsa banjir di mukim itu yang diberikan bantuan wang ihsan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir pada September lalu.

“Sejumlah RM446,000 wang ihsan diperuntukkan kepada 446 mangsa banjir MTL di mukim ini. Kerajaan sentiasa prihatin dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat, lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 ini.

“Penyampaian bantuan wang ihsan pada hari ini bukti kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di Sabah, tanpa mengira kaum mahupun agama. Semoga bantuan wang ihsan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung dan memberi kelegaan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

Bagi bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir MTL, jumlah keseluruhan penerima KIR untuk Penampang dan Mukim Labak, Kinarut adalah seramai 1,383 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.383 juta.

Minggu lalu, seramai 200 daripada 937 KIR mangsa banjir MTL di Penampang telah menerima bantuan itu yang disampaikan ketua menteri.

Antara tujuan bantuan wang ihsan itu adalah untuk membantu meringankan beban kewangan semua keluarga mangsa yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda pada 15 September lalu.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia dalam menghadapi musim monsun timur laut yang bermula pada bulan ini.

Katanya, kesiapsiagaan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) ini merangkumi keperluan aset logistik dan sumber manusia merentasi kerjasama pelbagai agensi yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan semua Bilik Gerakan Bencana di setiap daerah diaktifkan semula sebagai persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh nanti. Semua pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu dikenal pasti lebih awal bagi memastikan kelancaran operasi pemindahan.

“Semua PBT turut diingatkan agar memastikan parit dan longkang telah dibersihkan serta memotong semua pokok yang patut dipotong bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kita tidak mahu apa yang telah berlaku di Daerah Penampang pada bulan September yang lalu berulang hanya disebabkan kecuaian atau ketidakpekaan kita terhadap persediaan menghadapi bencana alam,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya sentiasa berhubung rapat dengan Kerajaan Persekutuan melalui NADMA bagi tujuan penyaluran peruntukan bencana dalam menghadapi musim monsun timur laut termasuklah bantuan wang ihsan.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Bin Untong.

Tamat