KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pesakit Talasemia paling ramai di Malaysia dan memerlukan keprihatinan semua pihak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2019, Sabah mencatatkan seramai 1,829 pesakit Talasemia daripada 8,178 pesakit di seluruh negara.

“Jumlah ini agak besar dan ianya memerlukan keprihatinan semua pihak dalam usaha mengurangkan jumlah pesakit serta membantu meringankan bebanan rawatan pesakit Talasemia.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan segala keperluan pesakit Talasemia di negeri ini dapat disediakan oleh pihak berkaitan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah”,  katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth (QEH) 2 sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Persatuan Talasemia Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Ini termasuklah membekalkan semua rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat serta rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel secara percuma”, katanya.

Hajiji menegaskan, kebajikan pesakit Talasemia yang layak tidak disisihkan daripada menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah .

“Sebagai pemimpin di Sabah, saya akan buat sedaya upaya dan menyokong segala usaha yang dirancang untuk membantu pesakit Talasemia di negeri ini”, tegasnya.

Beliau juga meminta pesakit Talasemia dan keluarga mereka terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan.

Katanya, ia sejajar dengan harapan Kerajaan Negeri supaya matlamat Persatuan Talasemia Sabah memutuskan rantaian Talasemia Major di negeri ini tercapai.

Hajiji juga menyeru masyarakat di negeri ini agar melakukan saringan Talasemia di semua hospital kerajaan yang dibuat secara percuma.

Beliau memuji usaha Persatuan Talasemia Sabah yang terus mengadakan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kawalan dan langkah pencegahan Talasemia di seluruh negeri.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan dalam kawalan dan pencegahan Talasemia agar berganding bahu mengurangkan beban penyakit Talasemia”, katanya.

Hajiji juga memuji usaha Repsol Oil & Gas Malaysia Limited atas sokongan berterusan dan sebagai penaja utama program Persatuan Talasemia Sabah.

“Saya menggesa lebih banyak organisasi mencontohi usaha yang dibuat oleh Repsol Oil & Gas Malaysia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka”, tambahnya.

Sejajar dengan sambutan yang bertemakan `Memacukan Keseimbangan Kesihatan Talasemia Secara Global’, Hajiji berharap sambutan Hari Talasemia akan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai Talasemia kepada pesakit, keluarga pesakit,  badan bukan kerajaan (NGO), warga hospital, masyarakat awam, agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, Talasemia ialah penyakit keturunan yang menyebabkan tulang sum-sum tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang sempurna. Ia boleh diwarisi sama ada daripada ibu, bapa atau kedua-dua ibu bapa pembawa Talasemia.

Tiada rawatan khusus kerana setakat ini belum ada ubat yang boleh menyembuhkan pesakit Talasemia. Pesakit terpaksa bergantung kepada transfusi darah sepanjang hayat dan kos rawatan amatlah tinggi sehingga mencecah RM3 juta seorang pesakit, bermula seawal umur satu tahun hingga anggaran umur 30 tahun.

Tamat