Siaran Media

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah hari ini, menerima sumbangan lebih
500,000 keping pelitup muka daripada Dewan Perniagaan Sabah-China
(SCCC) dan FJ Manjung Sdn Bhd untuk membantu menangani penularan
pandemik COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima sumbangan
itu sebagai mewakili Kerajaan Negeri Sabah yang disampaikan oleh Presiden
SCCC, Datuk Frankie CT Liew dan Pengarah Kewangan FJ Manjung Sdn
Bhd, Lee Jack Son, di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS)
di sini.

Menerusi bantuan itu, FJ Manjung menyumbang sebanyak 500,000 pelitup
muka manakala bantuan daripada SCCC turut membabitkan pelitup muka
sebanyak 16,000 keping selain 200 botol cecair pembasmi kuman 60 mililiter
(ml); 282 botol cecair pembasmi kuman 500 ml; termometer (20 unit);
Handphone UV Sanitizer (20 unit) dan cermin mata keselamatan atau goggle
(80 unit).

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SCCC
dan FJ Manjung dengan sumbangan dan bantuan yang telah diberikan kepada
negeri dalam membantu memerangi pandemik COVID-19.

“Sumbangan ini juga akan diberikan ke semua daerah menerusi pengerusi
Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 di peringkat daerah masingmasing.

Kita berharap kes membabitkan pandemik ini dapat dikurangkan dan
sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan segera,” katanya.

Yang turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin
Madingkir; Timbalan Presiden SCCC, Dato’ Soh Poh Soon dan dua Naib
Presidennya iaitu Datuk Kevin Lim serta Chiew Heng Hock dan Setiausaha
Agung SCCC, Ir Tan Kok Jyh.

Sempena majlis itu, SCCC turut memaklumkan mengenai usahasama antara
bandar raya berkembar Kota Kinabalu dengan beberapa bandar raya di China
selain turut memaklumkan usaha yang akan diambil bagi merangsang
perniagaan dan perdagangan antara SCCC dengan pelabur dari negara
China.

Frankie berkata bantuan dan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan
SCCC kepada rakyat di negeri ini serta berharap kes COVID-19 dapat dikawal
atau dikurangkan agar kehidupan kembali normal seperti sebelum ini. 

Tamat