Siaran Media

KOTA KINABALU: Usahawan di negeri ini perlu mengambil peluang membawa perniagaan ke platform digital, yang membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas. Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Flovia Ng, berkata ini kerana aktiviti perniagaan dalam talian kini menjadi pilihan ramai usahawan tterutama selepas pandemik COVID-19 menular di negara ini.

 

“Pada masa sekarang, perniagaan dalam talian menjadi pilihan ramai usahawan dan peniaga di negeri ini tidak harus ketinggalan. “Seiring dengan perkembangan semasa itu, mereka perlu terus berani bersaing dan menambah baik produk mereka terutama berkaitan pembungkusan,” katanya pada majlis perasmian cawangan pertama QPACK Malaysia di Sabah, di sini pada Khamis.

 

Perasmian cawangan pertama QPACK Malaysia di Inanam itu disempurnakan Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag. Yang turut hadir Pengasas QPACK Malaysia, Catherine Dumas. QPACK Malaysia syarikat yang terbabit dalam perniagaan pembungkusan bermula sejak 2015, berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

 

Flovia yang melahirkan rasa bangga dengan pencapaian QPACK yang juga pengasasnya adalah anak jati Sabah itu, berkata pembukaan cawangan pertama syarikat itu di Sabah akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang pembungkusan di negeri ini.

 

“Saya berharap usahawan di negeri ini khususnya wanita akan terus menambah baik dan memantapkan lagi produk mereka terutama dalam aspek pembungkusan. Saya berharap cawangan QPACK ini akan membantu ke arah pembungkusan yang lebih menarik,” katanya.

 

Sementara itu, Catherine berkata pihaknya amat teruja dengan pembukaan cawangan pertama syarikat itu di Sabah.  “Kami berharap selepas ini lebih ramai usahawan yang nampak ada alternatif lain dalam pembungkusan, dengan kos yang lebih murah dan jimat serta menarik,” katanya.