KOTA KINABALU: Penerbitan Buku 100 Wanita Sumber Inspirasi di Sabah, bukan saja akan menjadi inspirasi kepada wanita di negeri ini malah membuktikan pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan dan kejayaan yang dicapai wanita di Sabah. Buku yang menampilkan kompilasi kejayaan 100 wanita Sumber Inspirasi di Sabah itu dilaksanakan oleh Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata usaha yang dibuat oleh IKSnita ini wajar diberi pujian kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpul atau mencari 100 wanita sumber inspirasi di negeri ini. “Sudah pasti buku ini akan menarik minat kita untuk membacanya, apabila barjaya diterbitkan nanti. Ia kerana buku ini menampilkan cerita mengenai perjalanan kejayaan wanita di negeri ini, yang mungkin ada antaranya tidak diketahui umum.


“Justeru, ini adalah masa yang tepat untuk penerbitan buku ini dan saya percaya buku ini akan memberi manfaat, pemangkin semangat dan inspirasi kepada semua wanita di negeri ini, untuk turut sama melakar kejayaan. “Ramai wanita di Sabah yang mencapai kejayaan tetapi ramai yang tidak tahu, justeru dengan adanya buku ini, generasi muda akan mengenali mereka,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah dan melancarkan Coffee Table Book 100 Wanita Sumber Inspirasi, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden dan Pengasas Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita), Datuk Dg Haja Khatijah Datu Haji Bachtiyal dan Ketua SIG-GPWISes, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr Rozita @ Uji Mohamed. Juliah turut menggesa wanita di Sabah agar sentiasa peka terhadap setiap perubahan, memanfaatkan peluang yang disediakan, menimba ilmu dan turut serta dalam program yang disediakan kerajaan, di negeri ini.

“Tema Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini iaitu `Choose To Challenge’ amatlah bertepatan dengan cabaran yang kita sedang hadapi ketika ini iaitu pandemik COVID-19. “Sebagai wanita kita juga memainkan peranan penting dengan cara tersendiri untuk sama-sama memastikan keluarga kita dan orang sekeliling sentiasa jaga diri dan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. Juliah turut mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita dan beliau menegaskan sedia bersama-sama untuk memajukan wanita di negeri ini. Buku yang julung kali diterbitkan itu, dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.