KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan COVID-19 daripada Sabah United Chinese Chamber of Commerce (SUCCC) dan Badan Kebajikan Islam Kementerian Kewangan Negeri Sabah (MOF) di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS). Presiden SUCCC, Tan Sri Datuk Seri Panglima Andrew Liew menyerahkan sumbangan RM500 ribu kepada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Cawangan Sabah, Prof. Dr.Kew Seih Teck. Sementara Setiausaha Tetap MOF, Haji Rusdin Riman menyerahkan sumbangan Badan Kebajikan Islam MOF sebanyak RM13,500 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah.

Hajiji berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghargai dan mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan amal dan lain-lain untuk bersama-sama memerangi wabak COVID-19. Menurut Andrew Liew, sumbangan itu diberikan kepada MMA Cawangan Sabah yang mengurus dan mengatur pembelian peralatan dan keperluan lain untuk kegunaan hospital-hospital kerajaan. Sementara menurut Rusdin, sumbangan itu adalah hasil yang berjaya dikutip menerusi kempen bag beras dikalangan ahli-ahli Badan Kebajikan Islam MOF. “Sasaran awal kami ialah nilai kutipan sebanyak 500 bag beras. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, maka kami berjaya mengumpul nilai sumbangan sebanyak 900 bag beras”, katanya. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong.